AKTIVITI SURAU
Surau ini mempunyai ahli jawatankuasa yang telah dilantik melalui mesyuarat agong yang diadakan tiap-tiap tahun oleh pihak taman perumahan ini.Ahli-ahli jawatankuasa ini telah dibahagikan tugas masing-masing.Ahli-ahli jawatankuasa inilah yang menggerakkan surau ini aktif seperti surau-surau yang lain. Aktiviti-aktiviti surau ini terbahagi kepada 10 bahagian yang di panggil sebagai lajnah.Antara aktiviti lajnah itu ialah dakwah,belia,kebajikan,keselamatan,pembangunan,kebersihan,harta dan wakaf,sajian,pinggan mangkuk,dan muslimat. Setiap lajnah ini mempunyai ahli jawatankuasanya tersendiri yang menjalankan tugas ini dengan berkesan dan sempurna.Untuk lajnah dakwah,antara aktiviti tersebut adalah; majlis ilmu dan ceramah hari kebesaran islam. Contoh ceramah hari kebesaran islam itu ialah Maulidur Rasul,Isra' Mikraj dan Maal Hijrah. Penceramah-penceramah untuk program ini telah diaturkan oleh ahli jawatankuasa yang dilantik.Lain-lain aktiviti di bawah lajnah dakwah ini ialah aktiviti tadarus Al-Quran bagi remaja di bulan ramadhan,mendapatkan penceramah kuliah subuh di bulan ramadhan,mengadakan bacaan yassin sempena malam Nisfu Syaaban dan bagi para pelajar yang akan menghadapi peperiksaan,dan mengadakan perarakan sempena menyambut Maulidur Rasul.Perancangan untuk yang akan datang pula ialah ingin menambahkan ustaz bagi mengisi jadual yang masih mempunyai kekosongan,membuat satu pusat sumber kecil,mewujudkan kumpulan marhaban remaja dan mencari formula bagi menarik minat kaum ibu untuk menghadiri kuliah-kuliah agama dan berjemaah di surau.
Aktiviti di bawah lajnah belia pula adalah aktiviti tadarus Al-Quran bagi remaja di bulan ramadhan,mewujudkan bantera remaja bagi membantu kenduri kahwin dan bekerjasama dengan lajnah dakwah untuk melibatkan seramai mungkin remaja di dalam setiap program surau dan kemasyarakatan.Aktiviti lajnah kebajikan termasuk ibadah korban dan ibadah aqiqah sempena Hari Raya Aidiladha serta sumbangan kewangan kepada anak-anak yatim.Surau ini telah menyediakan tabung kutipan untuk anak-anak yatim.Setiap sumbangan yang diperoleh daripada pelbagai pihak,pihak surau akan mengagihkan kepada anak-anak yatim yang ada di taman perumahan ini.Tabung surau ini bukan sekadar untuk di sumbangkan kepada anak-anak yatim sahaja tetapi juga bertindak untuk menampung keperluan surau ini.Contoh-contoh keperluan tersebut seperti membayar bil air dan elektrik,menanggung kos-kos penyelenggaraan di surau ini.Ahli jawatankuasa surau telah bekerjasama dengan ahli jawatankuasa taman ini untuk mengawasi gejala sosial anak remaja dan juga mengawasi keselamatan kawasan surau dan taman perumahan ini secara keseluruhannya,semua perkara ini adalah di bawah tanggungjawab lajnah keselamatan.Masalah sosial yang terlibat adalah menghisap gam dan melepak.Kerjasama daripada semua pihak adalah penting untuk membanteras gejala yang tidak sihat ini.Penyelenggaraan kerosakan yang berlaku di kawasan surau ini adalah di bawah tanggungjawab lajnah pembangunan.Contoh penyelenggaraan tersebut ialah tandas dan baiki saluran air yang tersumbat serta menggantikan atap yang bocor.Aktiviti lajnah kebersihan termasuklah senggaraan di dalam bangunan dan di luar bangunan.Senggaraan dalam bangunan seperti pembersihan karpet,kipas,cermin tingkap,langsir dan sebagainya.Senggaraan luar bangunan seperti membuat dan memelihara lanskap,pembersihan balai lentang,tandas,kolah dan sekitar kawasan surau.Amalan gotong royong juga di amalkan untuk membersihkan surau dan persekitarannya sempena menyambut bulan ramadhan dan Hari Raya Aidiladha.Semua muslimin dan muslimat terlibat untuk menjayakan aktiviti ini untuk kebersihan dan kerohanian surau ini.Seterusnya lajnah harta dan wakaf,lajnah ini terbahagi kepada dua bahagian,iaitu harta wakaf kekal dan harta wakaf sementara.Harta wakaf kekal ialah barang-barang yang tidak mudah rosak dan kekal lama.antara barang-barang tersebut seperti almari kayu,meja,kerusi,penghawa dingin,P.A System,karpet,kitab,kipas angin dan lain-lain.Harta wakaf sementara pula ialah barang-barang yang mudah rosak dan pecah.Perancangan yang telah dirancang oleh pihak ahli jawatankuasa ialah ingin melupuskan barang-barang yang rosak dan pecah serta menyenaraikan barang-barang yang masih kekal hasil sumbangan dari penduduk setempat dan belian dari tabung surau.
Aktiviti seterusnya ialah lajnah sajian.Objektif lajnah ini adalah bertujuan memberi perkhidmatan dalam bidang sajian kepada jemaah Surau Nurul Iman khasnya dan masyarakat setempat amnya.Aktiviti-aktiviti di bawah lajnah ini ialah memasak dan menyediakan jamuan berbuka di bulan ramadhan,memasak dan menyediakan jamuan pada Hari Raya Aidiladha,memasak dan menyediakan jamuan sempena ceramah Awal Muharam serta kenduri tahlil dan selamat pada malam jumaat.Difahamkan bahawa kerjasama daripada ahli jawatankuasa lajnah sajian dan masyarakat setempat amat memberangsangkan.Aktiviti di bawah lajnah pinggan mangkuk pula ialah memberi perkhidmatan peralatan kenduri kendara kepada ahli-ahli tanpa sewaan.Segala kerosakan peralatan tidak kiralah pecah atau hilang hendaklah di ganti baru.Perkhidmatan untuk yang bukan ahli pula dikenakan dengan kadar sewa yang tertentu serta sebarang kerosakan hendaklah diganti.Memberi perkhidmatan percuma kepada Surau Nurul Iman pada penggunaan bulan ramadhan dan majlis kenduri di surau.Perancangan yang akan datang ialah menambah kemasukan baru di kariah taman ini dan menambah peralatan dari masa ke semasa.Lajnah terakhir surau ini ialah lajnah muslimat.Lajnah muslimat adalah biro yang diwujudkan khusus untuk kaum wanita.Lajnah ini bertanggungjawab dalam mengendalikan kuliah-kuliah sebagai satu cabang ilmu kerohanian bagi membantu kaum wanita untuk menimba ilmu dan mendekatkan diri kepada Allah serta untuk mendapatkan keberkatan dan keredhaan Allah.Bukan sahaja untuk individu itu sendiri malah adalah untuk rahmat dan barakah dari Allah untuk semua penduduk taman dan dipersekitaran. namun,sejauh mana kuliah-kuliah dan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh lajnah muslimat dapat memberi kesan dan kefahaman yang positif adalah bergantung kepada individu itu sendiri. Kuliah-kuliah di bawah lajnah ini ialah tajwid,fekah,tauhid,tasawuf,bacaan Al-Quran,kuliah di bulan ramadhan,bacaan yassin bulanan,bacaan yassin peperiksaan,tadarus Al-Quran,khatam Al-Quran dan ceramah Maal Hijrah.Berkenaan dengan tabung surau ini,bendahari surau ini akan mengutip sumbangan derma ikhlas dari rumah ke rumah untuk kegunaan surau ini.Contoh kegunaan ini ialah untuk membayar bil elektrik dan bil air pada tiap-tiap bulan serta kos penyelenggaraan surau ini.Surau ini akan di besarkan mengikut perancangan oleh ahli jawatankuasa surau ini.Mereka telah memutuskan untuk meminta dari setiap rumah di kawasan perumahan ini untuk memberi sumbangan sebanyak RM150 setahun bagi pembesaran surau ini.Penduduk kawasan perumahan ini boleh menyumbangkan seberapa banyak yang mereka ikhlas ingin di beri.Pembesaran surau ini memberi kebaikan kepada setiap penduduk kawasan ini untuk merasa lebih selesa solat berjemaah dan untuk melakukan aktiti dan program keagamaan jika surau ini di besarkan.Perancangan ini mendapat sokongan yang kuat daripada semua penduduk dan mereka memberi kerjasama yang memberangsangkan.Semoga apa yang dirancangkan ini mendapat keberkatan daripada Allah s.w.t.INSYALLAH.....